|
Ilmu merupakan satu aset yang begitu utama dalam perkembangan manusia. Natijah dari pengetahuan dan keupayaan berfikir, kita menyaksikan bukti perkembangan tamadun manusia yang dimanifestasikan menerusi binaan-binaan yang hebat, catatan-catatan tentang sistem yang pelbagai termasuk pentadbiran dan perekonomian, evolusi bahasa dan nombor, ciptaan-ciptaan yang baru dan sebagainya. Namun, isu utama yang harus kita perhatikan dari perkembangan ilmu yang dilalui masa lalu adalah aspek tujuan satu-satu ilmu diterokai, atau lebih mudah bagi kita belia islam; niat.
Perkembangan ilmu yang disaksikan masa, terpalit dalam sejarah, membuktikan pada kita dengan jelas hasil yang dicapai atas tujuan yang berbeza. Apabila kita menganalisa kembali tamadun utama yang berperanan dalam perkembangan ilmu manusia, kita perhatikan terdapat beberapa tamadun utama yang tersohor dalam perkembangan ilmu seperti Greek atau Yunani, Mesir, Romawi, Islam dan Eropah.
Ringkasnya dapat kita saksikan perkembangan ilmu yang bermula dengan tujuan yang celaru punya dua natijah yang jelas yakni kematian perkembangan ilmu setelah berakhirnya generasi pemikir semasa dan pengaruh yang menyulitkan generasi seterusnya dalam usaha pembaikan. Yunani yang berkembang atas dasar keseronokan dan hedonisma kemudiannya membiakkan fahaman teologi bersifat paganisma dan falsafah berdasarkan akal semata yang seterusnya memulai langkah darwinisma.
Berlanjutan dari Yunani, tamadun Romawi dan Parsi berkembang atas dasar kepentingan pemimpin, bertitik tolak dari pelakuan firaun ke atas rakyatnya. Kita menyaksikan perkembangan seni arkitek dan binaan yang hebat, namun fondasinya adalah hawa nafsu seorang individu yang zalim.
Setelah lama dunia dalam kegelapan ilmu yang tidak berasas, islam datang membawa manusia yang memperkembangkan ilmu dengan tujuan dan matlamat yang jelas. Bermula dari madrasah tarbiyah Rasulullah s.a.w, kita saksikan perkembangan ilmu pada pemuda-pemuda seperti Muaz bin Jabal yang mahir dalam halal dan haram, Ibnu Mas’ud dalam ilmu al-Quran, Zaid bin Harithah yang faqih dalam ilmu faraid; kita memerhatikan perkembangan ilmu atas dasar keperluan asasi. Begitu juga hasil dari Ibnu Rusyd, Al-Khawarizmi dan ramai lagi.
Kemudian bermula perkembangan ilmu di bawah pengaruh perkembangan eropah yang berdiri di atas kecelaruan. Waktu ini bermulanya era sekularisma yang semakin kencang. Dengan ketertinggalan mereka dalam bidang keilmuan, langkah mereka dipercepatkan dengan menanggalkan prinsip rohani berasas agama yang seterusnya bermulalah era perdagangan ilmu.
Melihatkan kepada sejarah perkembangan ilmu, dapat kita bandingkan antara konsep yang islam bawakan dan konsep yang diunjurkan oleh barat kini khususnya atau secara umumnya tamadun bukan islam. Satu aspek yang perlu kita lihat dengan jelas adalah perbezaan fondasi yang digunakan antara keduanya. Perkembangan ilmu dalam perspektif islam bermula dengan asas iman dan ilmu tentang agama yang sahih. Ini merupakan neraca pertimbangan yang memacu halatuju perkembangan ilmu bagi kita. Dengan neraca yang benar, dua perkara yang menjadi natijah pada suatu entiti itu adalah azamnya yang kuat dalam usaha dan kedua, manfaatnya kepada dunia.
Berbeza pula dengan kondisi perkembangan ilmu kini yang dipelopori oleh barat, kita saksikan bagaimana perkembangan ilmu ini terlaksana tanpa fondasi yang kukuh, bermula dengan konsep kapitalis, perdagangan ilmu berkembang dengan pesat. Universiti masyhur mengambil keuntungan berlipat ganda kerana jenama dan pelajar berkembang kerana terikat dengan yuran yang telah dibayar. Perlahan-lahan mengubah minda menimba ilmu kerana keperluan kepada aset mencapai kemewahan dan kesenangan hidup. Suatu unsur yang dapat kita ketengahkan pada perbezaan ini adalah kualiti jiwa. Generasi islam terdahulu menceburi bidang ilmu dengan kualiti jiwa yang tinggi dan tersohor, sesuai dengan neraca langit. Sebaliknya dengan dunia barat, ilmu datang kepada jiwa yang tidak punya kualiti, menjadi pemula stagnasi pemikiran.
Mengupas isu kemandulan pemikiran serta kelesuan pelajar dalam aktiviti-aktiviti kampus, wajar untuk kita melihat kembali analisa perkembangan ilmu dalam sejarah manusia. Asas pemikiran belia di Malaysia yang melangkah ke alam universiti tidak disiapkan dengan kualiti yang sewajarnya. Keazaman yang ada adalah lemah dan keperluan kepada tuntutan jiwa mereka tidak lain hanyalah untuk diri sendiri. Pemikiran menjadi sempit dan usaha tidak dicurah semaksima mungkin. Penekanan dari ahli akademik juga lebih cenderung kepada keputusan dari keperluan semasa. Inilah paradigma masyarakat umumnya. Ilmu adalah langkah pertama kepada kemewahan. Di sinilah kita membazirkan tenaga pemuda yang ada. Jiwa yang pada fitrahnya kuat pada usia pemuda, dilemahkan dengan kesenangan dunia dan syahwat. Fikiran di didik agar akur selalu dan selesa dengan pencapaiannya yang rendah dan tidak berkualiti, tanpa menyesal kerana tidak menghasilkan yang terbaik. Boleh jadi, jiwa kita semakin serasi dengan sekularisma hingga menimba ilmu tidak dilihat sebagai hal yang akan ditimbang di akhirat kelak.
Namun, mengulang kembali isi utama rencana ini, kualiti jiwa adalah kunci utama kepada perkembangan ilmu sekarang, dalam apa jua bidang. Pengalaman dari perkembangan tamadun islam dahulu seharusnya kita jadikan pedoman untuk memartabatkan bukan sahaja bahasa melayu, bahkan umat islam utamanya. Sudah tiba masanya untuk kita memulakan langkah untuk meningkatkan kualiti jiwa berlandaskan tuntutan islam agar kehebatan generasi mukmin terdahulu kembali menyinari persada dunia dan stagnasi pemikiran tidak lagi menjadi isu.
-julaibidsinar-
Recommend this article... Last update : 06-02-2008 10:21
|