|
Satu persoalan yang mungkin mudah
kita selesaikan. Kemungkinan kita akan
menjawab “sepuluh” bagi menyelesaikan masalah tersebut. Tetapi bukan persoalan
itu yang cuba penulis bangkitkan, malah pekara yang tersirat yang cuba
dicungkil disebalik persoalan yang begitu mudah. Perkataan ini menjadi
kebiasaan dalam tutur kata masyarakat malaysia dimana ia membawa maksud “sama”
atau “serupa” kepada sesuatu pekara. Dan sekali lagi, bukan dari sudut bahasa
yang cuba dibawa, malah dari sudut Islami
yang cuba diolah bagi menunjukkan sifat seseorang yang memimpin manusia kepada
kebaikan, namun hakikatnya beliau sendiri tidak memimpin kepada jalan yang
dibawanya. Kata-katanya mudah dilontar kepada orang ramai, tetapi hakikat
pengamalannya tidak kesampaian. Bagaimana? Adakah anda sudah faham apa yang
penulis ingin sampaikan?Jika tidak, mari kita menulusuri hakikat sebenar “Dua Kali Lima” ini.
Kita yakin dan bersemangat
menasihati manusia, yang mungkin kita tafsirkan sebagai kawan, keluarga,
mahupun orang yang tidak kita kenal selama ini. Kita mengamalkan, amal makruf
nahi mungkar yang telah lama bersemadi dalam sanubari kita. Kita menganggap
pekara ini hanyalah teguran kepada manusia lain, namun kita lupa “amal makruf
nahi mungkar” adalah satu ajakan yang bermula dengan diri kita, dan kemudian
kepada manusia yang lain. Dengan mudah kita lontarkan kata-kata menasihati
sebahagian manusia yang melakukan kemaksiatan, tapi disebalik pintu yang
tertutup dari pandangan manusia, kita pula melakukakan pekara yang mungkar.
Tidakkah kita faham tentang hadis nabi ini:-
Rasulullah saw bersabda “Saya
akan beritahukan kepada kalian suatu kaum dari kalangan umatku. Mereka datang
pada hari kiamat dengan kebaikan sebesar gunung. Namun Allah menjadikan kebaikan tersebut
seperti debu yang berterbangan.” Tsauban berkata, Ya Rasulullah! Terangkan
sifat-sifat mereka pada kami, sehingga kami tidak termasuk dari golongan mereka,
sedangkan kami tidak menyadarinya.
Rasulullah saw bersabda “Mereka adalah saudara kalian, dari kalangan kalian
pula. Mereka mengisi waktu malam dengan beribadah, seperti yang kalian biasa
lakukakan. Namun mereka jika sedang bersendirian dan mempunyai kesempatan
melakukakan perbuatan haram, maka mereka melakukannya”(HR Ibnu Majah)
Bukankah jelas maksud hadith
tersebut? Sepatutnya kita lebih peka dalam hal ini, dan tidak sesekali termasuk
dalam golongan yang dimaksudkan tadi. Baiklah, mungkin tidaklah sehingga kepada
kemaksiatan, namun ada juga apa yang kita nasihatkan tidak kita amalkan sendiri. Sebagai contoh
masa. Kita menyeru setiap orang menepati masa, namun hakikatnya kita yang
melanggar seruan itu tadi. Ini adalah salah satu keburukan tatasusila yang
tidak sepatutnya berada di dalam peribadi seseorang muslim.
Jika kita menasihat seseorang
kita sepatutnya melakukakan pekara yang kita nasihati, dan setidak-tidaknya
kita bersama-sama menasihati diri kita dahulu. Bukanlah bermaksud kita tidak
boleh menegur mahupun menasihat, tetapi biarlah perbuatan itu kita hadam
terlebih dahulu dan tersemat dalam hati. Seperti yang dikata oleh Shahru bin
Hausyab seorang Tabi’in “Apabila seseorang lelaki berbicara kepada satu kaum,
maka sesungguhnya bicaranya itu berkesan dihati kaum itu mengikut kedudukan
kata itu dalam hatinya”. Iaitu apa yang dimaksudkan, sejauh mana nasihat
seseorang itu berkesan ke atas seorang individu yang lain, adalah berdasarkan
pengamalannya yang akan tersurat dari lubuk hatinya semasa berkata-kata.
Bukan sahaja kata-kata dapat
menasihati manusia, malah melalui perbuatan atau sifat mampu memberi kesan yang
mendalam ke atas orang yang dinasihati. Seperti kata Imam Syafie, “ Barangsiapa
menasihati saudaranya melalui perbuatannya, dia adalah pemberi petunjuk”. Kita
mulakan dengan diri kita dan seterusnya orang lain. Maka itu akan lebih
berkesan dan mampu menarik individu yang kita nasihati. Banyak contoh yang kita
dapat ambil dari generasi-generasi terbaik dahulu, dimana mereka mendahului
dengan perbuatan mereka bagi menasihati manusia. Sehinggakan Rasulullah saw
mampu mengislamkan seseorang dengan hanya qudhuwah yang diterampilkan.
Jadi kita bagaimana? Adakah kita
golongan “Dua Kali Lima” itu atau pun golongan yang hanya diam, tetapi mampu memberi
impak yang lebih mendalam kepada seseorang individu? Penulis dengan ini menasihati diri sendiri
serta saudara-saudari sekalian untuk menasihati diri, mengamalkan nasihat yang
diberi, berjaga-jaga dalam pertuturan dan Istiqamah dalam pengamalan seharian.
Jangan biarkan tenaga terbazir melalui kata-kata sahaja seperti yang diungkapkan Malik bin Dinar, “Seseorang
alim itu apabila tidak beramal dengan ilmunya, nasihatnya akan tergelincir dari
hati pendengar sebagaimana tergelincirnya titisan embun dari batu yang licin”. Ayuh,
tingkatkan akhlak kita! InsyaAllah, moga Allah meringankan beban kita.Wsalam
Nota: Maaf saya terlambat!
Rujukan: Al-Muntalaq wa Bangkitlah!
Recommend this article... Last update : 31-03-2008 05:14
|
|
|