|
Rasulullah s.a.w.
bersabda;
"Tidak bergeser kaki
seorang hamba pada hari kiamat sampai ia dipertanyakan tentang 4 perkara;
tentang usianya untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa
dipergunakan, tentang hartanya dari mana didapat dan untuk apa dinafkahkan, dan
tentang ilmunya untuk apa diamalkan."
[Riwayat
al-Baihaqi dan selainnya dari Mu'adz bin Jabal radhiallahu Anhu]
Begitulah keadaan setiap
anak Adam di hari akhirat kelak. Tidak akan ada seorang pun yang akan mempunyai
kuasa bahkan ke atas dirinya sendiri. Setiap anak Adam hanya menunggu dan menanti
keputusan Allah s.w.t. Pemilik Hari Pengakhiran.
Namun antara satu aspek
penting yang dapat kita pelajari dari hadis di atas adalah penekanan yang
Rasulullah s.a.w. berikan pada usia setiap anak Adam. Rasulullah s.a.w.
mengulang kembali isi tentang usia dengan merincikan ia kepada masa muda bagi
anak Adam, untuk apa ia dipergunakan. Tidak dapat tidak, amat perlu untuk kita
menilai kembali kepentingan dan signifikasi masa muda setiap anak Adam selain
dari sekadar usianya kesuluruhan.
Sepanjang sejarah
manusia, sememangnya pemuda tidak dapat diasingkan dari kejadian yang
menakjubkan dan yang memberi kesan kepada ketamadunan kita. Merungkai kembali
peranan pemuda dalam sirah islam, kita menemukan banyak sekali catatan yang
termaktub tentang mereka. Ciri-ciri mereka dalam sejarah diceritakan dalam
Al-Quran yang tiada keraguan dalamnya.
Keyakinan dan keberanian
yang mantap
83. Maka tidak ada yang beriman kepada Musa,
melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahwa Fir'aun
dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Fir'aun itu
berbuat sewenang-wenang di muka bumi. dan Sesungguhnya dia termasuk orang-orang
yang melampaui batas. (Yunus, Surah ke-10)
13. Kami
kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita Ini dengan benar. Sesungguhnya mereka
adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah pula
untuk mereka petunjuk.(al-Kahfi, surah ke-18)
Maka
sememangnya pemudalah yang mempunyai keyakinan dan keberanian yang tinggi.
Kendatipun mereka menyedari bahawa fir'aun akan menyiksa mereka, namun mereka
tetap beriman dengan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. Begitu juga
kisah pemuda penghuni gua yang melarikan diri demi berpegang teguh dengan
akidah yang benar.
Dalam
sejarah dunia secara umumnya sekalipun, kita dapat memerhatikan bahawa sifat
ini adalah fitrah mereka. Revolusi dan perubahan yang berlaku dalam kancah
pemikiran dan konflik ketamadunan dunia baik barat mahupun timur seringkali
dihiasi dengan pemuda dan merekalah yang menjadi tonggak dalam satu-satu
perjuangan.
60. Mereka berkata: "Kami dengar ada seorang
pemuda yang mencela berhala-berhala Ini yang bernama Ibrahim ".(Al-Anbiya',
surah ke-21)
Begitulah
pula seperti yang ditunjukkan Nabi Ibrahim a.s. yang mempunyai keimanan yang
teguh bahawa tuhan tidak mungkin dari berhala yang tidak mampu berbuat apa-apa,
lantas ia mencela kebatilan di hadapan masyarakatnya. Dalam apa jua keadaan,
keimanan dan keyakinan ini diterjemahkan dengan jelas dalam perbuatan mereka,
dan pemuda tidak sekali-kali layak untuk menjadi bacul dalam menghadapi
kebatilan.
Memiliki
kesabaran dan ketaatan yang benar
102. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur
sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku
Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah
apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang
diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang
yang sabar". (As-Shaffat, surah ke-37)
Nabi
Ismail a.s. mengajar kepada para pemuda yang benar agar bersabar dan taat pada
kebenaran. Ia tidak langsung ragu pada perintah yang diterima oleh ayahnya,
Nabi Ibrahim a.s. sekalipun isu yang dibawa terkait dengan nyawanya sendiri.
Di sini
perlu kita jelas dengan garis pemisah yang ditunjukkan dalam kisah Nabi Ismail
ini bahawa kesabaran dan ketaatan yang dicurahkan adalah demi yang
diperintahkan oleh Allah yang Maha Benar. Kesabaran dan ketaatan itu tidak
diberikan kepada yang mengingkari al-Khaliq, seperti dalam sebuah hadith
riwayat Imam Bukhari,
Dari Ali,
Rasulullah
s.a.w. menghantar satu pasukan tentera dan melantik di antara mereka seorang
ketua. Lelaki yang menjadi ketua itu membuat unggun api dan kemudiannya berkata
kepada pengikutnya, "Masuklah ke dalamnya(api).". Sebahagian dari mereka ingin
masuk kerana taat, sedangkan yang lain berkata, "Kami telah lari darinya(kami
masuk ke dalam islam untuk menjauhi dari api neraka - pent)." Setelah pulang,
mereka menceritakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. dan tentang adanya mereka
yang ingin terjun ke dalam api itu, lantas Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jika
mereka masuk ke dalamnya(api), maka mereka akan kekal di dalamnya sehingga Hari
Kiamat." Kemudian baginda menyambung, "Tiada ketaatan dalam kemungkaran,
ketaatan hanya pada yang baik." (Hadith 363, Bab 91, Jilid 9).
Dalam
tekanan yang diterima oleh pemuda islam sekarang yang berlaku secara halus
dalam mereka berusaha untuk beramal dengan islam yang benar, hendaklah terus
menerus kita bersabar dan taat pada perintah Allah s.w.t. sepertimana yang
dipaparkan oleh Nabi Ismail a.s. Bukan ruang untuk kita mengambil jalan
berputus asa kerana pemuda-pemudi muslim yang sebenar tidak pernah diajar jalan
kelemahan dan putus harapan. Tidak sekali-kali !.
Taqwa,
berkahlaq mulia dan adil
23. Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di
rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup
pintu-pintu, seraya berkata: "Marilah ke sini." Yusuf berkata:
"Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku Telah memperlakukan Aku
dengan baik." Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan beruntung.(Yusuf,
surah ke-23)
Ini
merupakan sebuah lagi kisah yang digambarkan oleh al-Quran tentang sifat pemuda
yang dipercayai dan dimuliakan oleh Allah s.w.t. Pertamanya sifat taqwa yang
tinggi dan sempurna kerana kemampuan pemuda dengan jiwa kuat dan sedar. Pemuda
yang dimuliakan oleh Allah adalah yang bertaqwa dan mempunyai akhlaq yang
mulia. Inilah sifat-sifat asasi pemuda yang bermakna kepada sejarah manusia.
Tindakan mereka adalah untuk keredhaan Allah s.w.t.dan mereka berlaku adil
dalam setiap perkara. Inilah juga merupakan manifestasi kepada keimanan dan
keberanian yang tinggi. Jika dinilai dari godaan yang diuji ke atas Nabi Yusuf,
a.s., pastinya amat sedikit dan barangkali tiada seorang pun yang akan tegar
menolak godaan dan pujukan wanita tersebut. Namun begitulah Allah mahu mendidik
generasi pemuda yang mendatang melalui contoh tauladan yang baik dari kisah
pemuda terdahulu.
Generasi
pemuda di zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Sekiranya
para pemuda sekalian masih mampu berdalih dengan sifat yang dipaparkan oleh
golongan anbiya', maka lihatlah kembali pada generasi para sahabat yang
berjuang bersama Nabi s.a.w. dan mereka merupakan entiti yang bernilai tinggi
dalam sejarah manusia. Mereka ini bukanlah para nabi atau rasul, mereka
hanyalah manusia biasa, namun mereka tetap mampu untuk berdiri teguh pada
kebenaran. Jelasnya mereka sekali lagi memaparkan ciri-ciri pemuda yang sebenar.
Inilah kriteria yang menjadikan pemuda-pemudi sekalian bernilai dan dikira
sebagai satu entiti dalam jasad ummah.
Bukanlah
angan-angan, ya syabab ! Ini adalah realiti.
Bahkan
Ibn Abbas berpendapat bahawa rasul-rasul dan orang-orang yang dikurniai ilmu
adalah dari kalangan pemuda. Dan ini adalah pendapat yang disokong bukti dari
al-Quran, as-sunnah dan dari sejarah umat ini sendiri.
Jadi
pemuda-pemudi sekalian, dimanakah akan kamu pergunakan masa muda mu dalam kehidupan
ini? Adakah kelak kamu tidak akan berganjak ke mana-mana kerana masa mudamu
telah hilang ditelan al-hawa' ?
Wallahu'alam.
Recommend this article... Last update : 29-04-2008 00:10
|
jazakaallah
By: al_mufikir (Guest ) on 23-04-2008 12:15
Satu aspek yg mmg kita kdg2 terleka dgn permainan global...dahulu, pemudalah paling digeruni, pemudalah yg bertakhta, permudalah yg mbawa arus gelombang kehidupan, namun hakikatny berbeda dunia hari ni
Pemuda masa kini, "tlalu awal dlm menentukn kehidupan", nk menentukn kehidupan tlalu awal apetah lg mbw panji islam, kita digenggam oleh susur atur masyarakat barat, kalo pemuda-pemudi mberi pendpt ttg kebaikan, katanya tlalu muda utk ditelan, tp apabila mereka mlakukn pekara kemusnahan, dinisabkn mereka tidk matang...
Gah pemuda-pemudi hari ni, pada kemewahan motorsikalnya, pd baju ketatny yg dibeli dr london(eg),pd pasangny yg bagai turun dr langit, pd kemachoan penampilny, namun...semua berinti kosong...
jazakaallah ya akh,
» Report this comment to administrator
» Reply to this comment...