Bismillah arrahman arrahim
Alhamdulillah alhaq... mengembalikan segala rasa syukur pada Dia Pemilik segala puja dan puji
Dari kalam Allah...
” dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa Yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Yang menganiaya diri sendiri" (al anbiya : 87)
dan satu lagi, kisah taubat yang termahsyur..
kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat Yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani (al Baqarah:37)
Mengulas kisah Adam a.s. , setelah kesalahan yg dilakukannya, baginda ingin bertaubat kepada alAfuww , namun baginda tidak tahu apa yang harus dilakukan. Disebutkan dalam riwayat, setelah tersingkapnya aib Adam a.s. dan Hawa a.s. (Quran 34:20) mereka berlarian di syurga, lalu Allah swt bertanya ”Apakah engkau lari dariKu wahai Adam?” Baginda menjawab ” Tidak, tetapi aku malu kepadaMu”
Dosa Adam a.s. hanyalah sebuah suapan yg baginda makan, namun betapa besarnya aib yang dirasakan baginda. Tapi, bagaimana dengan dosa kita yang demikian banyak? Apakah kita lebih malu dari Adam a.s.?
Nabi Adam a.s. bersegera bertaubat ketika telah berdosa. Wahai saudaraku, kita lebih layak untuk segera bertaubat dari setiap dosa dan maksiat yang telah kita lakukan. Mulakanlah hidupmu setiap hari dengan memohon ampunan dariNya dan pembebasan dari api neraka.
Sabda Rasul Allah saw, ”Allah membentangkan tangan di malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di siang hari, dan Dia membentangkan tangan di siang hari untuk menerima taubat orang yang berdosa di malam hari” (HR Muslim [31] dan Imam Ahmad [IV, 395] ). Maka, usah tunggu hingga malam menjelma, segera hamparkan sejadahmu, dan tadahlah tanganmu mohon keampunan dari Dia yang Maha Mengasihi!
Di antara sifat Allah, Dia Maha Penganugerah Taubat dan Maha Penyayang. Dialah yang membantumu meninggalkan maksiat. Renung lah kisah Adam a.s. Allah swt memilihnya sebagai nabi padahal baginda sudah melakukan maksiat kepadaNya. Lihatlah, sekalipun engkau bermaksiat, namun sesudah taubat, engkau akan mulia di sisi Allah dan bisa mengungguli sekalian manusia dengan taubat itu. Kerana itu wahai pemuda dan pemudi, berdoalah kepadaNya agar Dia memberikan taubat atas maksiat yang kalian lakukan.
Pesan alAfuww pada Adam a.s.
Adam a.s. menangis. Allah menyerunya setelah Adam a.s. diturunkan ke bumi dalam keadaan sedih kerana kehilangan syurga dan tidak lagi tinggal di sisiNya. arRahim berfirman kepadanya , ”Wahai Adam, engkau dahulu mendatangiKu layaknya raja datang kepada raja. Sekarang engkau mendatangiKu layaknya hamba datang kepada raja. Ini lebih Ku senangi. ”
Al Wadud juga berfirman Wahai Adam, jika Ku jaga selalu engkau dan keturunanmu dari maksiat, siapakah yang akan Kuberi rahmat dan ampunanKu? Siapakah yang akan Kuberi kemurahanKu? Wahai Adam, rintihan pendosa lebih ku senangi daripada tasbih pria. Wahai Adam, dosa yang membuatmu bersimpuh dihadapanKu lebih baik daripada ketaatan yang membuatmu riya’. Wahai Adam, janganlah bersedih dengan ucapanKu kepadamu : ”Keluarlah dari syurga!” Namun, turunlah ke bumiKu, semailah benih-benih, dan berjihadlah di jalanKu! Lakukan perbaikan di bumi, hingga pabila engkau rindu kepadaKu, masuklah ke syurga! ”
Sebuah pesan indah untuk kita segera bersimpuh di hadapan Allah swt. Memohon lah dengan merendah diri padanya, penuh sifat tadaru’ agar Dia menerima taubatmu. Ucapkanlah ”Wahai Tuhanku, oh Tuhanku..”
“Katakanlah (Muhammad), siapakah yang dapat menyelamatkanmu dari bencana di darat dan di laut ketika kamu berdoa kepadaNya dengan rendah hati dan dengan suara lembut?(tadaru’)...” (Quran 6:63)
Imam Ahmad ibn Hanbal bertawaf disekeliling Ka’bah saat dia mendengar seseorang berdoa, ”Wahai Tuhan, pakaianku sangat sederhana sebagaimana Kau ketahui. Puteriku sangat lemah sebagaimana Kau ketahui. Isteriku pun sederhana sebagaimana Kau ketahui. Wahai Zat yang melihat kami, sementara kami tidak melihatMu.” Imam Ahmad kemudiannya mendatangi lelaki itu bersama sejumlah harta, namun orang itu menolak seraya berkata ”Tidak, aku seorang kaya. Aku berasal dari negeri ini. Usahaku adalah ini dan itu.””Lalu, mengapa engkau berdoa dan bersikap seperti tadi?” tanya Imam Ahmad.”Wahai imam, Allah senang jika kita menghampiriNya dengan merendah.”
Tahukah wahai saudaraku, apa yang dikatakan iblis saat engkau solat dan sujud? Iblis berkata ” Celaka! Dia diperintahkan bersujud, maka dia bersujud. Sedangkan aku diperintahkan bersujud, tetapi aku menolak.” Bayangkan bagaimana perasaan dan ratapannya. Engkau menurut perintah, sedang dia tidak.
Lihatlah, silapnya syaitan kerana sombongnya.”Aku lebih baik daripadanya. Engkau menciptakanku dari api, sedang Engkau menciptanya dari tanah” (Quran 7:12).
Dan di antara bentuk kesombongan adalah keengganan untuk berdoa. Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina. (Quran 40:60)”
Syaitan ingin mencetak sifatnya ke dalam diri kita. Dia ingin membakar kita dengan sifatnya yang berasal dari api. Malah, Iblis telah menyiapkan pasukannya untuk menyerangmu.
”Allah berfirman (kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup. Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan ajakanmu; dan kerahlah pasukan-pasukanmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)". padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.” (Quran 17:63-64)
Namun, iblis tak punya upaya ke atas hamba-hambaNya yang ikhlas (Quran 15:40). Seolah-olah Allah berkata kepadamu: Aku bersamamu dan dalam pasukanmu ada alquran, zikir, solat, sujud, wirid pagi dan petang, serta Ramadhan. Selain itu, bersamamu juga ada taubat yang membuatmu dekat dengan Ku.
Dan akhirnya syaitan itu menetap di dalam neraka Jahannam seraya berkata kepada pengikutnya :”dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu Dengan janji Yang benar dan Aku telah menjanjikan kamu lalu Aku mungkiri janjiKu itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan Kuasa mempengaruhi kamu selain daripada Aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi Aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) Yang kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya orang-orang Yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab Yang tidak terperi sakitnya” (Quran 14:22)
Dalam hadis sahih, Rasul Allah, Muhammad saw bersabda, ” Allah menerima taubat hambaNya selama mana ajal belum sampai ke tenggorokan”
Dan bukankah dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman, ”RahmatKu mendahului murkaKu”
Kembalilah..kembalilah..kembalilah...kembalilah kepada Yang Merindukan Rintihanmu..
Adam as berkata kepada Tuhannya ”Wahai Tuhanku bukankah Engkau telah menciptakanku dengan kedua tanganMu?Bukankah Engkau telah meniupkan ruhMu kepadaku?Bukankah Engkau telah menempatkanku di syurga?Wahai Tuhan, bukankah Engkau telah berfirman bahawa rahmatMu mendahului murkaMu?Wahai Tuhan, jika aku bertaubat kepadaMu, apakah Engkau akan mengembalikanku ke syurga?”
Al Afuww menjawab ”ya, engkau dan isterimu”
Semoga Allah memasukkan kita ke dalam jannahNya bersama orang yang kita cintai.
Allah swt berfirman lagi, moga ini dapat menguatkan hatimu, agar hatimu benar-benar merindui taubat kepadaNya
”katakanlah, ’wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap diri sendiri, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah!Sesungguhnya Allah mengampuni seluruh dosa’ ”(Quran 39:53)
Dan lagi, ketahuilah hai hati, di antara kemurahan Allah swt kepada hambaNya adalah pada hari akhirat nanti, Dia memanggil hambaNya dan berkata, ”Mendekatlah kepadaKu, wahai hambaKu”” lalu, Dia menyingkapkan hijab seraya bertanya, ”Ingatkah lagi akan dosamu ini?”
Si hamba mengira dirinya akan celaka, namun ternyata Allah berfirman ”Aku telah menutupinya untukmu di dunia, dan sekarang Aku mengampunimu.”
Subhanallah..faghfirli..fa’fu’anni ya Mujib..
Ketahuilah, Allah sangat senang dengan taubat hambaNya.Siapakah yang sepantasnya lebih gembira dengan taubat? Pemberi atau Penerimanya?
Allahua’lam
Recommend this article... Last update : 09-05-2008 07:29
|
|
|
menyahut seruan taubat
By: faza4peace (Registered ) on 10-05-2008 09:46
» Report this comment to administrator
» Reply to this comment...