
Islam
meminta penganut-penganutnya sentiasa bersedia untuk mempertahankan agama suci
ini daripada ancaman musuh.
"Keluarlah beramai-ramai berperang
dalam semua keadaan, baik dalam keadaan ringan mahupun dalam keadaan berat. Dan
berjihadlah dengan harta benda dan jiwa ragamu untuk Sabilullah, kerana
perjuangan itu lebih baik kepada kamu jika kamu mengetahui." (at-Taubah:
41)
Perjuangan
mempertahankan agama boleh dilakukan dengan pelbagai bentuk sama ada melalui
harta benda, pemikiran, kebijaksanaan, kekuatan fizikal dan sebagainya. Allah
bakal memberikan ganjaran yang amat besar kepada umatnya yang berjuang
mempertahankan agama Islam.
Terdapat pelbagai
peringkat perjuangan yang boleh dilakukan. Antara peringkat-peringkat yang
praktikal ialah peringkat menentang hawa nafsu iaitu berjuang agar nafsu tunduk
untuk beramal, sabar menanggung kesusahan dan segala cabaran yang ditimbulkan
oleh nafsu itu sendiri. Peringkat lain pula ialah peringkat menentang gangguan
syaitan yang sentiasa menghasut dan memujuk manusia melakukan kejahatan.
Selain peringkat-peringkat tersebut di atas, peringkat lain ialah menentang
golongan kafir yang cuba menghapuskan ajaran Islam dari dunia ini. Terdapat
juga peringkat menentang golongan munafikin yang merupakan duri dalam daging
terhadap umat Islam kerana mereka menyorok dan menyembunyi dalam barisan umat
Islam untuk menghancurkan Islam.
Ciri-ciri pejuang menurut Islam:
i. Bersifat benar (siddiq) dalam setiap perbuatan dan perkataan sama ada dalam
hubungan dengan Allah s.w.t, risalah yang dibawa, manusia, dakwah dan kepada
diri sendiri.
"Wahai orang yang beriman,
hendaklah kamu beriman kepada Allah s.w.t dan hendaklah kamu berserta orang
yang bersifat benar." (at-Taubah: 119)
ii. Bersifat amanah terhadap harta dan juga ketika bercakap dan berdakwah.
"Sesungguhnya Allah memerintahkan
kamu supaya menunaikan segala amanah terhadap ahli (yang berhak
menerimanya)." (an-Nisa': 58)
iii. Bersifat lemah lembut (hilm) apabila berhadapan dengan orang yang diseru
dan semasa menyampaikan dakwah.
"Dan orang yang menahan amarahnya
dan memberi maaf kepada manusia bahawa Allah sangat kasih kepada orang yang
berbuat kebaikan." (Ali Imran: 134)
iv. Bersifat tawadhu' iaitu sentiasa berjalan di tengah manusia dengan rasa
rendah hati dan meredhai segala ketentuan Allah s.w.t.
"Dan hamba-hamba Allah yang baik
dari Tuhan itu; ialah orang yang berjalan atas muka bumi dengan rendah hati dan
apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang
mengandungi keselamatan (kesejahteraan)." (al-Furqan: 63)
Yakinlah dengan janji ganjaran Allah kepada setiap pejuang Islam;
"Yang
bersikap lemah lembut terhadap orang mu'min, yang bersikap keras terhadap orang
kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan tidak takut kepada celaan. Itulah
kurniaan Allah diberiNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah maha luas
(pemberianNya) (wasi') lagi maha mengetahui (alim)." (al-Maidah: 54)
Tinta ringkas Musafir
Recommend this article... Last update : 21-05-2008 19:52
|